Monday, November 17, 2014

Aku di mana?

Sedang aku memandu kereta, seorang sahabat membuat panggilan telefon kepadaku. Aku memaut handsfree lalu ku sumbat ke telinga. Solat asar telah masuk katanya. Lantas memutuskan panggilan. Semata-mata? Bisikku.

                Dengan izin Allah aku terfikir,apa itu solat? Oh ya, perbuatan dan pencakapan yang dimulai dengan niat dan disudahi dengan salam. Ya, aku tahu. Alhamdulillah. Aku memandang stereng kereta, tahukah aku membuat stereng kereta? Aku menggeleng kepala. Mengapa tidak tahu? Sebab bukan kerja aku.

                Rupanya banyak benda yang boleh aku buat jika aku tahu. Dalam bentuk keperluan, apa yang aku tahu? Pendidikan, perubatan, makan-minum, rumah, agama dan lain-lain lagi. Oh banyaknya yang aku tak tahu.

                Pendidikan sahaja sangat banyak yang aku masih tidak tahu, apatahlagi yang lain-lain. Betul kata orang tua-tua, tak kenal maka tak cinta. Tak kenal maknanya tidak tahu. Bagaimana pula aku boleh berlagak sombong sedangkan masih banyak perkara yang aku masih tidak tahu?

                Bagaimana sahabatku tadi boleh tahu telah masuk waktu asar? Oh, mungkin dari tv atau radio agaknya. Itu hanya ramalanku, hakikat sebenarnya aku tidak tahu. Sekali lagi aku tersentak, itupun aku tak tahu? Wah, kalau dikira memang banyak sungguh perkara yang aku tak pernah tahu.

                Setelah tiba di rumah, aku berniat untuk solat fardhu asar. Perkara pertama yang aku lakukan ialah berwudhuk. Bila aku amati, hati tertanya betulkah untuk mendirikan solat aku perlu berwudhuk? Ya, memang betul. Wudhuk jadi wajib jika untuk solat. Itulah yang aku faham. Bagaimana memulakan dan mengakhiri wudhuk juga aku tahu. Memang aku faham benar jika solat mesti berwudhuk.

                Selesai juga solat fardhu asar. Kemudian aku duduk di pangkin. Dengan izin Allah aku terfikir lagi, betulkah cara aku berwudhuk tadi? Ya, dalam surah Al-Maidah ayat 6 ada dinyatakan dan aku ingat benar. Alhamdulillah. Berapa ramai orang di luar sana yang hanya tahu berwudhuk tetapi dalam masa yang sama tidak tahu adakah cara wudhuknya benar seperti yang difirmankan dalam al-quran? Inilah dinamakan kefahaman.

                Hatiku tertanya, berapa ramai orang yang hanya tahu tetapi tidak faham? Contoh mudahnya, orang yang tahu solat belum tentu faham solat. Kerana itulah masih ramai orang solat tanpa khusyuk, masih ramai orang yang solat berjemaah masih merenggangkan saf dan masih ramai lagi orang sakit yang terus duduk ketika melakukan takbiratul-ihram.

                Lebih membimbangkan ialah salah faham.  Orang yang solat tidak faham untuk apa mereka solat, yang solat berjemaah tidak faham mengapa perlu berjemaah dan lebih membimbangkan ialah apabila mereka solat hanya kerana takut dimarahi atau takut malu.

                Aku pernah bersekolah agama. Bila tiba waktu solat, aku akan segera ke surau untuk solat. Waktu yang paling bebas ialah jika tiada guru yang menyelia. Waktu inilah terserlahnya hakikat sebenar bagaimana aku solat. Kami bermain-main sahaja sepanjang solat. Lain benar jika guru ada, memang akulah yang paling warak. Inilah salah faham. Aku tidak faham yang solat itu untuk Allah, takut hanya pada Allah. Lebih aku tidak faham, sebenarnya kami telah syirik pada Allah. Ironinya, mujur kami tidak faham.

                Kini aku lebih faham, mana yang baik dan mana yang sebaliknya. Setelah aku tahu dan faham tentang solat, masalah lain pula timbul. Berapa banyak kali aku tinggalkan solat? Jika dikira sejak kecil hingga sekarang, memang banyak kali. Ya, kini aku akui bahawa orang yang tahu dan faham belum tentu mampu mempraktikkannya.

                Seorang motivator yang selalu memotivasikan orang lain hingga berjaya,  belum tentu adalah seorang yang berjaya. Berapa ramai ejen-ejen skim cepat kaya yang kaya setelah mengajak orang lain untuk menjadi kaya?

               Inilah contoh mudah yang menunjukkan apa yang kita tahu dan faham sebenarnya belum tentu menjamin untuk kita melakukannya. Namun begitu, apa sahaja yang kita lakukan setelah kita tahu dan faham adalah sangat besar impaknya.

                Dalam masa yang sama, kita sebenarnya perlu menilai sesuatu berpandukan apa yang kita tahu, faham dan telah lakukan. Mungkin ramai yang tahu dan faham, sedikit pula yang dapat melakukan. Sebenarnya dengan melakukanlah kita akan memperolehi bukan sahaja pengetahuan dan kemahiran, akan tetapi memperolehi pengalaman.

                Pengalaman hanya diperolehi setelah melakukan sesuatu yang kita tahu dan faham. Dengan pengetahuan, kefahaman dan pengalaman inilah kita mampu menilai sesuatu dengan lebih tepat.

                Tidak hairanlah seorang pengurus yang bermula dari bawah lebih faham situasi  pekerjaan berbanding pengurus yang freshgraduate. Inilah fungsinya pengalaman.

                Seketika kemudian aku ke bilik bacaan lalu mengambil lappy dan menghidupkannya. Wi-fi sedia ada aku gunakan sebaiknya. Sedang asyik membuka email, aku tertarik dengan salah satu email kiriman seorang sahabat. Aku membukanya. Sebuah pertanyaan diajukan kepadaku tentang solat. Bagaimana aku dapat menjawabnya jika aku sendiri tidak pernah solat?

                Pernah suatu ketika keretaku berbunyi kuat dibahagian enjin, mekanik A kata itu bunyi piston, mekanik B pula kata itu bunyi lain. Mampukah mekanik meneka bunyi tersebut hanya berpandukan tahu dan faham tentang teorinya? Ya, itulah gunanya pengalaman.

                Sebenarnya 4 aspek yang aku tahu dan faham sebentar tadi ialah 4 peringkat penguasaan pengetahuan tentang sesuatu perkara. Persoalan yang aku sedang fikirkan ialah di peringkat manakah pengetahuan aku sekarang?


                Begitulah cara kita menilai tahap penguasaan ilmu kita tentang sesuatu perkara. Seharusnya kita menguasai ke empat-empatnya supaya kita benar-benar faham dan supaya kita dapat menggunakannya dengan yakin tanpa was-was.  

No comments:

Post a Comment