Monday, November 17, 2014

Hubungan dan Tindakan.


Suatu pagi aku berhajat ke pasar pagi untuk membeli sayuran untuk makan tengahari nanti. Sedang aku berjalan, tiba-tiba seorang lelaki melanggarku dengan kuat. Aku jatuh terjelupuk ke lantai. Dalam hati hanya tuhan tahu betapa geramnya aku kepada lelaki itu. Aku lantas bangun menuju lelaki itu. Jiwa anak muda aku membuak-buak mahu menerkam sahaja lelaki itu. Dapat lepaskan sedas dua tumbukan cukuplah.

                Semakin aku menghampiri lelaki itu, semakin menurun rasa geramku terhadapnya. Mengapa? Oh, baru aku sedar lelaki itu ialah sahabat lamaku. Dari niat ingin menghadiahkan sedas tumbukan bertukar serta-merta memaut tangan dan memeluknya.

                Dia meminta maaf. Aku segera memaafkannya. Teringat pahit maung kami ketika belajar bersama dahulu. Dari suasana tegang kepada berbual panjang. Setelah beberapa ketika kami berpisah semula.

                Sepanjang jalan, aku membersihkan kotoran yang terlekat kerana jatuh tadi. Hatiku tidak lagi marah malah berbunga-bunga terjumpa sahabat lama. Aku terfikir, mengapa aku tidak lagi marah? Sedangkan sepatutnya aku cukup marah kerana malunya hanya tuhan yang tahu. Apakah kerana itu sahabat lamaku? Apakah kerana aku teringat kisah pahit bersama masa lalu?.

                Kalaulah lelaki tadi bukan sahabat lamaku, mungkin sudah lama aku hadiahkan sedas dua tumbukan sebagai pengajaran. Apatahlagi malunya amatlah sangat. Pasti suasana akan lebih buruk.
                Setelah bertenang dengan cukup tenang, barulah aku terfikir sebenarnya itulah kuasa hubungan yang baik. Pernahkah kita dibantu dalam sesuatu perkara lalu mereka berkata bahawa mereka ikhlas membantu kerana kita adalah kawan mereka? Ya, aku pernah.

           Memang benar, jika kita jahat akan ada sahabat kita yang berusaha menyembunyikan kejahatan kita. Jika kita diaibkan, akan ada sahabat kita yang berusaha menutup keaiban kita itu.

                Begitu juga jika kita berbuat baik, pasti sahabat kita akan menerima dan mengikuti apa yang kita katakan. Malah kadangkala kita mendapat lebih dari apa yang kita harapkan dari mereka. Ini impak hubungan yang baik.

                Berlainan pula jika hubungan kita rosak, apa sahaja kejahatan dan keaiban kita akan cepat disebarkan. Apa sahaja perkara baik yang kita lakukan, pasti ada sahaja yang tidak kena. Malah apa sahaja nasihat baik yang kita sampaikan kadangkala disangkal dan dieksploitasi sebagai tidak baik dan tidak perlu diikuti. Inilah kuasa hubungan.

                Dalam apa sahaja perhubungan, kita perlu adil. Mendengar dan menghargai. Menerima dan meneguri. Menyayangi dan mendisiplini. Adil untuk diri sendiri dan orang lain. Apatahlagi untuk Allah dan rasul-Nya. Ini isi yang paling asas sebelum yang lain-lainnya.

                                Zaman aku kanak-kanak dulu, aku bersahabat baik dengan beberapa orang rakan. Hubungan kami sangat rapat. Orang kata, berkawan usah rapat sangat. Nanti gaduh sukar nak berdamai. Akan tetapi, aku pula sebaliknya. Sehinggakan jika membawa bekal makanan, aku bawa dua atau tiga bungkus untuk dikongsikan bersama mereka. Malah jika aku bawa sebungkus nasi lemakpun, aku akan berkongsi bersama mereka.

                Sehinggalah suatu ketika, aku difitnah sahabat rapat sendiri. Walaupun akhirnya diketahui kebenarannya aku tak salah, hubungan kami renggang. Kami tidak serapat dahulu. Memanglah sakit hati. Mujurlah aku teringat 3 perkara menguntungkan dunia akhirat, salah satunya ialah adil ketika tenang ataupun ketika marah. Itulah yang aku lakukan.

                 Ketika itulah aku masih lagi berkongsi bekal makanan yang aku bawa walaupun sakit hati. Kalau ikutkan hati, kalaupun aku bawa 5 bungkus bekal sekalipun, mahu aku habiskan seorang. Itu hak mereka, aku mesti adil. Ringkas tetapi besar impaknya.

                Hakikatnya, hubungan memainkan peranan lebih utama berbanding tindakan. Dalam islam contohnya, ilmu ketauhidan itu adalah lebih utama berbanding yang lainnya. Inilah ilmu hubungan. Hubungan dengan pencipta. Apalah guna pakar ilmu feqhnya tetapi ilmu tauhidnya tidak perkasa. Itu bakal melahirkan seorang ulama yang riyak dan takabbur.

                Kesan ilmu tauhidnyalah mereka redha dengan ujian. Kesan ilmu tauhidnyalah mereka zuhud dalam tindakan serta banyak lagi contoh. Kerana itu jugalah islam mengajarkan manusia tentang hablu-minallah dan hablu-minan-nas.

                Aku berani katakan, redhanya Allah pada kita kerana hubungan baik kita dengan Allah. Bukan kerana membuaknya amalan. Bahkan jika amalan yang dilakukan bukan kerana Allah, percuma sahaja semuanya. Cuma, jika tindakan atau amalan itu pra-syaratnya untuk menjaga hubungan dengan Allah, maka ianya wajib dilaksanakan segera. Nanti ada pula yang berkata, jika begitu tak perlulah beramal, cukuplah kita ingat Allah setiap masa. Pendapat ini tidak tepat.

                Begitulah kita sesama manusia, jika bersikap adil itu pra-syaratnya untuk menjaga hubungan sesama manusia, ianya perlulah dilaksanakan juga.

                Maka, ironinya hubungan dan tindakan ini seharusnya dilaksanakan serentak atau berturutan. Cumanya, jika dibandingkan keutamaannya, menjaga hubungan itu lebih utama berbanding menjaga tindakan.

                Walau apapun, inilah dua hal yang perlu kita sama-sama jaga. Hubungan dan tindakan. Hubungan yang baik bersama tindakan yang patut, inilah yang terbaik. Hubungan yang baik tetapi tindakan yang tidak patut, ini bergantung kepada takdir kita. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.


     Manakala hubungan yang tidak baik beserta tindakan yang tidak patut, ini bermakna kita sedang memaksa orang lain melupakan kebaikan-kebaikan kita dan bersedialah untuk dibenci.

No comments:

Post a Comment