
Tergelak besar aku bila sahabat
sekampungku mengejek sahabat yang lain dengan gelaran ‘ketam’. Biasalah zaman
sekolah rendah, budaya ejek-mengejek sudah menjadi tabiat turun-temurun. Aku
sendiri diberi gelaran spesifik. Bila aku bertanya mengapa panggil dia ‘ketam’?
mereka menjawab dia pandai cakap tapi diapun buat.
Jika
orang pandai cakap tetapi tak buat itu cakap tak serupa bikin. Berlainan pula
gelaran ‘ketam’, khas untuk orang yang pandai bercakap baik tetapi buat juga
yang salah.
Bila
dikenang semula, memang lucu. Selepas makan malam hari ini aku duduk bersandar
di pangkin rumah lagi. Terkenang semula hal-hal lama. Mengenang untuk dijadikan
pelajaran dan pengajaran.
Ketam
mengajar anaknya berjalan lurus. Pepatah melayu yang sangat mendalam maksudnya.
Terpulang pada kita untuk mentafsirkannya.
Dari
satu sudut, aku terfikir memang begitulah kita sebagai manusia. Kita
mengajarkan orang lain jangan berkata bohong, kita juga pernah berbohong. Malah
kadangkala ditafsirkan ‘terpaksa’ berbohong. Bohong sunat katanya.
Ramai
ibubapa yang menyuruh anak-anaknya solat, sedangkan mereka sendiri kadangkala
‘miss’ solat. Untuk menyelamatkan diri pula, macam-macam alasan yang keluar.
Akhirnya perkara yang tidak patut perlu dijadikan patut.
Itu
satu perkara yang perlu kita waspadai. Lebih-lebih lagi zaman masakini adalah
zaman yang memandang manis sesuatu yang pahit atau memandang baik sesuatu yang
tidak baik.
Sebagai
contoh, berpakaian skirt pendek yang asalnya tidak kelihatan sopan kini
di’boleh’kan hanya kerana fesyen katanya. Yelah, jika kita sedar bukankah
pakaian labuh kini jauh lebih murah berbanding pakaian singkat?
Dari
satu sudut yang lain pula, ada pula yang akan berkata jika mahu menunggu diri
sempurna, bilanya kebaikan dapat disebarkan.
Itu
memang benar. Akan tetapi bukanlah perkara dosa yang disengajakan atau sengaja
tetapi tidak tahu bertaubat. Itu bakal membolehkan dosa tidak mengapa
dilakukan, yang penting sampaikan yang baik pula.
Sebagai
simboliknya, kita ibarat ketam juga. Ini tidak sengaja. Ketam itu memang
dijadikan begitu, sedangkan kita dijadikan tahu berfikir mana buruk, mana
sebaliknya. Usahlah kita sengaja mengikut ‘resmi’ ketam. Hanya tahu menunjuk
yang baik tetapi dalam masa sama tidak berusaha untuk memperbaiki diri.
Malah,
ada yang sengaja mengikut ‘resmi’ ketam ini seolah-olah akal yang dijadikan beralasan,
kerjanya hanya mengikut tabiat lama.
Jika baik, baiklah. Jika buruk, buruklah. Tanpa berusaha memperbaikinya.
Dari
sudut terakhir pula, aku cuba belajar sesuatu dari kisah ketam ini. Biarlah aku
sendiri yang belajar. Bukan rugi apa-apapun.
Sambil
bersandar di kerusi malas, aku belajar sesuatu sifat baik dari peribahasa ketam
ini. Ya, sifat baik itu ialah sentiasa berfikiran positif. Walau sedar diri
banyak negatifnya.
Sebagai
ketam, kita perlu sedar apa yang lebih baik. Merencanakan sesuatu yang baik dan
berusaha untuk mengubah tabiat buruk kepada tabiat yang lebih baik.
Sebagai
ketam, kita tahu kita mempunyai tabiat buruk. Kemudian tabiat buruk itu ditiru
oleh orang lain. Kita perlu berusaha mengubahnya. kita perlu menutup seketika
tabiat buruk itu untuk menunjukkan tabiat yang sepatutnya. Pada masa yang lain,
kita berusaha memperbaiki diri.
Boleh
jadi, orang lain boleh terubah. Dengan izin Allah. Apabila orang lain terubah,
dari situlah kita belajar mengubah diri sendiri berpandukan cara orang lain
berubah.
Aku
pernah terdengar, jika kita bercampur dengan penjual minyak wangi, akan
terpalit bau wanginya. Akan tetapi, usah pula kita bercampur dengan penghisap
rokok, nescaya akan terpalit bau dan penyakitnya sekali.
Belajarlah
mengubah diri dari orang lain yang berubah lebih baik, bukan belajar dari orang
lain yang sebaliknya.
Tabiat
itu sesuatu amalan yang sering dilakukan dan tidak perlu difikirkan. Hanya
mengikut kebiasaan. Jika kebiasaan itu baik, maka baiklah. Begitulah
sebaliknya.
Dari
amalan kebiasaan inilah menjadi tabiat dan dari tabiat kebiasaanlah menjadi
budaya. Apabila menjadi budaya, sukar untuk dibendung kerana telah melibatkan
ramai orang dan perangainya.
Mengikut
kajian, apa sahaja yang negatif dalam diri tidak mudah atau tidak akan hilang.
Jadi bagaimana mahu menghindarinya? Membiasakan yang positif.
Untuk
menghindari datang lewat ke tempat kerja, ‘haram’kan masa setengah jam atau
sejam sebelum masuk kerja untuk hal yang lain. Kita tidak boleh me’makruh’kan
masa tersebut kerana dengan me’makruh’kannyalah akan menyebabkan masa tersebut
‘halal’ untuk hal lain kelak.
Jadi,
mulai hari ini aku perlu menjadi ketam yang selalu positif. Tiada lagi
pandangan negatif kepada peribahasa ‘ketam mengajar anaknya berjalan lurus’.
Itu kerana ketam itu aku. Mengapa pula aku perlu memandang negatif kepada
diriku sendiri?
Tahniah
kepada diriku sendiri kerana sentisa berfikir dan bertindak positif! Ketam itu
adalah aku yang positif.

No comments:
Post a Comment