Monday, November 17, 2014

Mana yang PERLU?

Umur sekitar 10-12 tahun aku akui sebagai saat-saat kemuncak keseronokan zaman kanak-kanak. Aku tidak merasa kecil walaupun masih kecil dan tidak merasa besar walaupun sudah berkhatan.

Memori indah bersekolah rendah di sebelah pagi mahupun sekolah agama di sebelah petangnya mempunyai memori tersendiri. Cikgu berkata ilmu adalah keperluan, ustaz pula berkata ilmu itu fardhu ain. Aku pula berkata, sekolah ini tempat bermain.

Bila aku kenang semula, aku setuju sangat kata-kata mereka. Itu adalah lumrah kehidupan. Cuma, berapa ramai yang sedar? Malah aku yakin, ramai sangat lagi orang di luar sana tak tahu atau tak pernah fikirpun tentang ini.

Aku tersenyum. Lantas aku capai sebatang pensil. Kemudian aku bertanya diri, apa yang aku perlukan dalam hidup? Semakin lama semakin samar bayanganku. Agak sukar. Lalu aku mudahkan, apa yang aku perlukan 5 tahun dari sekarang? Rumah sendiri. Aku pasti tidak lagi merempat di tanahair sendiri. Lagi? Ah, apa perlu aku lakukan hari ini?

Aduhai, hampir aku terlupa. Sepanjang hari ini aku perlu bekerja, malam nanti sah jumpa kawan-kawan seperti biasa. Perkara lain? Manalah sempat. Hiburan? Nantilah hujung minggu kalau ada bajet.

Oh ya, bagaimana aku boleh terlupa masa untuk solat? Masya-Allah. Inilah kesan kebiasaannya jika kita tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Ini definasi tepat bagi sifat ‘zalim’.

Aku sudah tahu. Akan tetapi, mereka itu belum tahu apa sebenarnya yang mereka perlukan. Mereka mungkin tidak tahu apa yang fardhu ain. Ini maksud fardhu ain, bukan ibadah yang fardhu ain semata-mata. Lagi pula mereka mungkin tidak sempat merancang prioriti tindakan mereka.

Mereka tidak bersalah 100%. Sebagai contoh, aku pernah berhajat membeli smartphone kerana handphoneku sekarang makin menjadi-jadi sakitnya. Setelah mendapatkannya, aku terpandang sudut jualan housing khas untuk smartphoneku. Berapa banyak masa telah aku habiskan?

Inilah yang berlaku. Telefon bimbit itu keperluan, housing itu kehendak. Kehendak itu cukup memukau. Akhirnya mereka keliru mana keperluan dan kehendak. Silap-silap, kehendak menjadi keperluan.

Aku tidak tahu apa yang akan berlaku akan datang tetapi aku boleh merancang untuk apa yang perlu aku lakukan pada masa akan datang. Syaratnya, aku perlu tahu apakah yang aku perlukan hari ini.

Paling penting, apa yang perlu dilakukan dalam hidup ini. Kita boleh menjadi apa sahaja tetapi keperluan asas itu mesti. Siapa yang sedar, kita sebenarnya perlu menjadi ‘hamba’? ini asas.

 Aku teringat babak hamba lelaki kepada husin Lempoyang dalam kisah ‘3 Abdul’. Apa sahaja arahan perlu dituruti, apa sahaja yang diberi perlu diterima. Kalaulah ditambah seorang ‘chiefkhadam’ sebagai penulis perilaku mereka, sudah tentu berjela panjang buku catatannya hari itu.

Itulah ibaratnya kita. Apa sahaja yang berlaku itu untuk menguji apakah reaksi kita. Lalu para Malaikat menulis setiap saat yang berlaku itu.

Jadi, apa yang kita perlu untuk masa akan datang, 5 tahun terdekat mahupun sepanjang hari ini mestilah ada kaitannya dengan kita sebagai ‘hamba’. Cukup ini sebagai asas untuk apa sahaja perancangan kita.

Mulai sekarang aku mesti meletakkan asas ini sebagai prioriti. Untuk meletakkan ini aku mesti membezakan yang mana keperluan atau kehendak, yang mana fardhu ain dan fardhu kifayah dan mana yang bermanfaat atau sia-sia.

Fardhu ain ialah apa sahaja yang kita wajib lakukan sendiri manakala fardhu kifayah ialah mana yang wajib kita lakukan untuk kebaikan kita dan orang lain.

Ya, kedua-duanya aku yang wajib lakukan. Dari hal yang penting hingga kepada hal yang ringkas. Sebagai contoh, menggosok gigi. Ianya fardhu ain. Bekerja mencari rezeki itu boleh jadi fardhu ain atau fardhu kifayah. Bekerja sendiri fardhu ain, bekerja dengan orang lain itu fardhu kifayah. Kedua-duanya kita yang wajib lakukan.

Seperti ketika aku berada di dalam kelas dahulu, mengangkat kerusi ketika pulang itu tanggungjawab aku sendiri manakala membersihkan kelas walaupun ada pelajar lain ditugaskan untuk itu tetapi aku sendiri perlu juga memastikan kelas bersih. Takut-takut orang yang ditugaskan tidak dapat bertugas.

Begitu juga dengan solat fardhu. Solat fardhu itu fardhu ain, solat fardhu berjemaah pula jadikan ia fardhu kifayah.

Apa sahaja yang dinamakan keperluan itu tidak sia-sia. Berhabis untuk sesuatu keperluan juga adalah bermanfaat. Kita tidak akan rugi.

Keperluan itu ibarat komponen kereta, saling diperlukan untuk menjadikan kereta mampu bergerak. Hilang salah satunya memberi kesan kepada keseluruhannya.
Seperti duit, kata orang duit bukan segalanya tetapi segalanya memerlukan duit. Adakah duit itu keperluan?

Tepuk dada tanya selera. Jadi, usahlah kita membuang masa untuk sesuatu kehendak semata tetapi berikan masa untuk sesuatu keperluan. Untuk kebaikan kita.

Jika kita sedar, ibadah, ilmu, makanan, tempat tinggal dan beberapa lagi hal penting itu adalah keperluan. Usah berlebihan kepada hal-hal untuk memenuhi kehendak kita. Bukan tidak boleh, ambillah ia jika semua keperluan telah kita penuhi.

Bilamana Allah berfirman yang Allah suka amalan yang sedikit tetapi berterusan, itu bermakna yang sedikit itu adalah memenuhi keperluan. Yang banyak itu kehendak.

Seperti pakaian sebagai keperluan, pakaian yang cantik pula kehendak. Dengan tujuan, mencantikkan lagi keperluan itu. Ya, kini aku bukan sahaja tahu, malah sudah cukup faham.

No comments:

Post a Comment