Monday, November 17, 2014

Mat Jenin Moden?


Tengahari ini aku makan tengahari di sebuah restoran berdekatan tempat kerjaku. Banyak-banyak kedai, kedai ini yang memenuhi selera aku. Paling popular, masak lemak cili api dan air kelapa mudanya.

Masuk kali ini sudah hampir 3-4 kali seminggu aku makan di sini. Langsung tidak sedar apa-apa yang boleh dijadikan iktibar. Sehinggalah suatu hari aku dan rakan-rakan makan bersama. Mereka rancak berbual tentang topik Mat Jenin.

Aku ingat lagi kisah Mat Jenin. Seorang pemuda yang berangan-angan besar akhirnya jatuh dari pokok kelapa. Mungkin kesudahannya kelapa tak dapat, patah tangan atau hilang nyawa pula.

Apa silapnya? Tujuan asalnya untuk memetik kelapa, sekerat jalan sibuk pula berangan bagaimana rasanya menjadi tokeh kelapa. Salah ke berangan-angan? Bukankah kata orang, jika mahu kaya mesti berangan dahulu bagaimana rasanya menjadi kaya nanti?


Aku berpendapat tak salah berangan. Cuma ada kesilapan lain yang mungkin kita tidak nampak dari kisah ini. Ya, silapnya Mat Jenin tidak teruskan kerjanya memetik kelapa ketika itu. Atau penerangan mudahnya, Mat Jenin tidak seperti ‘mulut berkata tetapi tangan berjalan juga’.

Selama ini kita solat naik-turun, pernahkah kita sedar ada panduan yang sangat besar dan berguna daripadanya?

Aku maksudkannya sebagai rukun qalbi, fe’li dan qauli. Qalbi ialah rukun hati, fe’li ialah perbuatan dan qauli ialah perkataan.

Sebagai contoh mudah, aku keluar makan bersama rakan-rakan. Niat kami untuk makan di kfc. Sepanjang jalan kami sibuk bercerita tentang kesedapan kfc atau berangan-angan menikmati kesedapannya. Di pertengahan jalan, kami tersekat dalam trafficjam. Lalu kami keluar dan menuju ke tempat lain. Maka batallah niat kami untuk ke sana.
Mengapa kami tidak dapat menikmatinya? Mudah, kerana kami tidak sabar menunggu kesesakan tadi.

Orang yang mahukan kejayaan dalam peperiksaan, sejak awal telah berniat untuk berjaya. Adakah semua orang telah berjaya? Tidak pun.

Semua pelajar ingin berjaya dalam pelajaran. Semua orang juga berusaha untuk belajar hingga berjaya. Mengapa tidak semua pelajar itu berjaya? Ya, kerana sikap.
Bagaimana mungkin pelajar yang ingin berjaya, berkata yang ia mahu berjaya tetapi bermalas-malasan untuk berusaha boleh berjaya?

Inilah 3 perkara yang mesti dilakukan untuk mendapat apa yang diniatkan. Matlamat, kata-kata dan tindakan mestilah selari dengan apa yang diinginkan. Mudah untuk kita fahami bukan?

Inilah pengajaran dari kisah Mat Jenin tadi. Kita masih ingat?

Memang biasanya begitu. Aku selalu tewas dengan sikap dan tabiat aku sendiri. Patutkah aku menyalahkan orang lain?

  Setiap perbuatan mesti dimulakan dengan niat. Niat itu adalah mindset kita. Orang yang solat pada waktu maghrib boleh jadi sedang qadha’ solat asar. Imbalannya sudah tentu berbeza solat fardhu dan qadha’.

Orang yang tidak berniat pasti akan menjadi orang yang sukar diduga. Sukar diduga kerana berbolak-balik hatinya. Sekejap ke kanan sekejap ke kiri. Bahkan seperti lalang.
Berbeza orang yang sudah berniat. Acuan bahulu jika dituang dengan ramuan coklatpun, orang tetap menggelarkannya karipap coklat.

Kemudiannya, jika orang yang sudah berniat solat tetapi hanya berkata-kata pasti tidak menjadi solatnya. Ibarat ‘cakap tak serupa bikin’. Kata-kata boleh ditafsirkan sebagai ilmu.

Setelah mindset dibuat, kita perlu berusaha mencari ilmu yang berkaitan. Amalan tanpa ilmu orang kata tindakan bodoh. Begitu juga dengan ilmu tanpa amalan, sia-sia belaka.
Orang berilmu pasti banyak dugaannya untuk ia beramal dengan ilmunya. Dari sini terujinya kesabaran dan pengorbanan.

Orang yang tahu solat pasti diuji dengan berat melaksanakannya. Orang yang tahu membaca al-quran diuji dengan kesibukan hingga tiada masa untuk membacanya. Begitu juga dengan pelajar, pasti diuji dengan latihan, ujian dan peperiksaan awalan.
Oleh kerana itu Allah meninggikan darjat orang berilmu lebih dari mereka yang malas atau jahil dengan ilmu.

Seperti kisah kfc tadi, aku diuji dengan tersekat dalam kesesakan lalulintas. Jika aku sabar dan sanggup berkorban masa menunggu, pasti hasrat akan tertunai.

Sikap pula bukan mudah untuk dibentuk. Perlu ada kerjasama erat dari diri sendiri. Sebenarnya kita dan diri kita dua dunia berbeza. Cuma dalam tubuh yang sama.

Biasanya orang yang berjaya ialah mereka yang punya hubungan baik dengan dirinya sendiri. Masih tidak percaya? Pernahkah kita terlewat ke tempat kerja? Adakah memang atas kemahuan kita? Tidak bukan.

Inilah kita dan diri kita. Jika hubungan kita dengan diri baik, sudah tentu ketaatan akan lahir dari tindakan kita. Begitulah sebaliknya.

Aku berani katakan, jika kita dan diri kita masih di takuk lama dan tidak pernah berjaya walau pelbagai usaha telah dilaksanakan, ubahlah sikap kita. Ubahlah sikap kita.


Sikap kita menentukan tindakan kita. Pernah dengar atau tidak kata orang, tindakan kita adalah penentu siapa kita akan datang. Ya, betul! Usah menjadi Mat Jenin Moden.

No comments:

Post a Comment